Niat Puasa Ramadan
Niat Puasa Ramadan : Berpuasa Ramadan adalah amat dinanti-nantikan saban tahun. Pada Tahun 2023, kita akan mulai berpuasa pada 23 Mac 2023 akan datang. Perubahan tarikh tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Firman Allah SWT:
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. “ – (Surah al-Baqarah: 183)
Hadis Rasulullah SAW:
Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud:
" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."
Berniat dalam bahasa Arab adalah Tidak wajib dan tidak juga sunat, cukuplah memadai dalam apa-apa bahasa yang difahami. Namun, lebih baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab.
Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu Rukun Islam. Maka wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
Berikut adalah senarai Puasa Wajib untuk panduan kita bersama. Antara Puasa Wajib tersebut ialah :-
- Puasa pada bulan Ramadan
- Puasa Kifarah
- Puasa Qada
- Puasa Nazar
Puasa Kifarah ialah denda yang hanya dikenakan kepada lelaki atau suami kerana merosakkan puasanya dengan melakukan persetubuhan pada siang hari di bulan Ramadan. Suami isteri yang berjimak (bersetubuh) pada siang hari dalam bulan Ramadhan, masing-masing wajib menggantikan puasa sebanyak hari yang terbatal.
Puasa Qada ialah Puasa ganti ini boleh dilaksanakan sepanjang tahun selepas bulan Ramadhan hingga sebelum sampai bulan Ramadhan tahun seterusnya kecuali pada hari- hari yang diharamkan untuk berpuasa seperti pada hari pertama bulan Syawal, hari raya Aidiladha dan juga pada hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijjah).
Puasa Nazar adalah puasa yang dilakukan untuk menunaikan nazar yang telah dijanjikan terhadap Allah S.W.T setelah apa yang dihajati telah termakbul. Maka wajib ke atas seseorang itu menyegerakan apa yang telah dinazarkan itu.
Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam
- Puasa enam hari pada bulan Syawal
- Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijah, namun menurut Ahli Sunah Waljamaah (Sunni), berpuasa pada 9 Zulhijjah adalah haram bagi orang yang menunaikan ibadah Haji. Berpuasa pada 9 Zulhijah juga adalah dilarang dalam Mazhab Syiah.
- Puasa pada hari tasu'a 9 Muharam dan Hari Asyura pada 10 Muharam
- Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
- Puasa pada 13, 14, 15 hari bulan pada setiap bulan Islam Hijrah. Pada tarikh-tarikh tersebut, bulan akan berada dalam keadaan amat jelas kelihatan serta purnama penuh. Juga dikenali sebagai Puasa Hari Putih.
Hari-hari yang diharamkan berpuasa
- Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
- Puasa pada Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal
- Puasa pada Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah
- Puasa pada Hari Tashriq pada 11, 12, 13 Zulhijah
- Puasa perempuan haid dan Nifas
- Puasa pada Hari Arafah yakni pada 9 Zulhijah, larangan berpuasa menurut Mazhab Syiah, tetapi berpuasa pada hari tersebut adalah sunat bagi Muslim yang mengikuti Mazhab Ahli Sunah Waljamaah, namun menurut pandangan Ahli Sunah Waljamaah juga, haram berpuasa pada hari tersebut bagi orang yang menunaikan Haji di Arafah.
- Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya sedangkan suaminya berada di rumah
- Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudarat ke atas dirinya kerana berpuasa
Syarat Puasa :
- Orang Islam
- Berakal – tidak sah jika gila atau kanak-kanak belum mumaiyiz
- Suci daripada haid dan nifas
- Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa
Rukun puasa ada dua, iaitu:
- Berniat pada malam harinya
- Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari
Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa.
- Makan sahur serta melambatkannya
- Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
- Menjamu orang-orang berbuka puasa
- Solat Tarawih pada malam harinya
- Memperbanyak ibadah dan berbuat kebaikan
- Berungguh-sungguh dan tekun berjaga malam pada 10 malam terakhir Ramadan untuk mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatulqadar
Perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa.
- Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit, seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
- Muntah dengan sengaja
- Bersetubuh di siang hari
- Mengeluarkan air mani dengan sengaja
- Keluar darah haid atau nifas
- Hilang akal (seperti gila)
- Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
- Merokok di siang hari (termasuk menghisap ganja atau dadah)
- Murtad (keluar dari Islam)
- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau penyegar mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara ke dalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga (dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka.
- Orang yang sakit
- Orang yang berkerja buruh
- Orang yang dalam perjalanan lebih daripada 2 marhalah (musafir)
- Orang tua yang sudah lemah
- Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
Hasil bayaran fidyah perlu diserahkan kepada Baitulmal dan akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.
HUKUM FIDYAH
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH
1. Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu yang menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5. Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan
Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
6. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
Catat Ulasan
Catat Ulasan